Memaparkan catatan dengan label PBS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PBS. Papar semua catatan

4 Okt 2013

Key In SPPBS : Elakkan Keciciran




Assalamualaikum w.b.t.


Lebih kurang sebulan sahaja lagi sesi persekolahan 2013 akan berakhir. Nampaknya semua guru yang terlibat dengan PBS sudah mula sibuk untuk mengisi data pencapaian murid dalam sistem SPPBS.


Saya berharap proses key in  data ini akan berjalan lancar tanpa masalah tersekat-sekat seperti tahun-tahun yang lalu. 
(nampaknya  dah mula berputar-putar  >.< )

Seperti yang semua maklum, selepas guru mentaksir murid, guru akan merekodkan dalam borang transit. Kemudian apabila selesai PdP, baharulah guru akan key in pencapaian tersebut dalam sistem.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan tandakan sekali lagi borang transit dengan pen merah, SEKIRANYA data tersebut telah saya masukkan dalam sistem.

Ini adalah untuk mengelakkan keciciran berlaku sewaktu mengisi data pencapaian murid. 


Yang ada 'double tick' bermaksud sudah rekod dalam sistem.

Yang 'single tick' belum rekod dalam sistem SPPBS.

Yang kanan sekali, tiada sebarang tanda, bermaksud evidens belum ditaksir. 

Mungkin nampak renyah, tapi bagi saya sangat penting untuk mengelakkan keciciran berlaku ketika kita key in dalam SPPBS. 


Sekiranya rakan guru ada cara lain yang lebih praktikal, jom kongsikan di sini.
(di ruangan komentar) 

Sekian, selamat 'mengetik'. 

~ Alah bisa tegal biasa ~



 



3 Okt 2013

Soalan Akhir Tahun PBS Pendidikan Islam




Assalamualaikum w.b.t.

Dalam minggu ini, banyak pesanan yang saya terima melalui e-mel, fb dan aplikasi whatsapp , bertanyakan tentang soalan akhir tahun PBS Pendidikan Islam.

Apabila membaca satu demi satu pesanan daripada rakan guru ustaz ustazah, terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Masakan tidak, dengan ayat pelbagai ragam, mencuit hati dan perasaan.

"Ustazah, sila e-melkan soalan akhir tahun PBS Tingkatan 1 kepada saya."

Gulp! 

Saya semak kembali alamat pengirim, yang saya sangkakan Pengetua saya. Rupa-rupanya bukan. Aduh, lega!   >.<

Bermacam-macam pesanan  yang saya baca, sehingga mendorong saya untuk menulis entri ini.

Untuk pengetahuan rakan guru sekalian, tahun ini saya hanya mengajar Tingkatan 1 Pendidikan Islam. Sejujurnya, pada ketika ini, saya sendiri sedang bertungkus-lumus menyiapkan soalan untuk akhir tahun yang bakal berlangsung hujung bulan ini. 

~*~*~*~*~*~*~

Persoalan pertama: 
Apakah format yang mahu digunakan?

Terpulang kepada pihak sekolah. Jika tujuan untuk streaming kelas tahun hadapan, markah diperlukan. Cara ini dianggap sebagai peperiksaan dalaman dan memudahkan para guru untuk mengira peratus murid.

Persoalan kedua:
Mahu tulis band atau markah?

Bergantung kepada guru subjek/ guru pentaksir. 
Jika mahu mentaksir mengikut DSP, letakkan band. Manakala markah boleh disertakan bagi memudahkan pengiraan pencapaian murid.

Persoalan ketiga:
Bagaimana mahu membina soalan PBS aras tinggi dan aras rendah mengikut  DSP?

Untuk perhatian rakan guru ustaz ustazah, soalan yang dibina bertujuan untuk menguji kefahaman murid. Sekiranya murid boleh menjawab, bermakna murid tersebut menguasai. 

Evidens adalah sama antara murid cemerlang dengan yang sederhana. Namun, kaedah pembinaan item dapat menjadikan soalan tersebut sukar dijawab ataupun mudah.

Sebagai contoh: 

B2D10E2: Menyatakan anggota wuduk
               Menyenaraikan rukun wuduk

Aras tinggi (murid cemerlang)

Senaraikan anggota wuduk.
Senaraikan rukun wuduk satu-persatu.

* lebih kurang format PMR

Aras rendah (murid sederhana dan lemah)

Tandakan ( /) pada anggota wuduk.

(   ) muka       (    ) kaki        (   ) mulut    (  ) telinga

(   ) tangan     (    ) sebahagian kepala


* Ini sebagai sebagai contoh. Kalau rajin dan ingin nampak lebih menarik, letak gambar. 


* Sediakan pilihan jawapan bagi murid sederhana dan lemah. 


Persoalan keempat:
Apakah tajuk yang perlu diuji/ ditaksir?

Untuk pentaksiran akhir tahun ini, dicadangkan  tajuk semester dua. 
Ataupun lebih baik ditaksir mana-mana tajuk yang belum ditaksir lagi.

Persoalan kelima:
Berapa jam diperuntukkan untuk menjawab?

Terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah saya tetapkan 2 jam untuk Pendidikan Islam. Oleh yang demikian, kita kena pastikan soalan yang dibina itu, sesuai dengan peruntukan masa menjawab yang diberikan.

Persoalan keenam:
Bagaimana dengan penyerapan KBAT / HOTS  dalam soalan? 

Masukkan beberapa soalan KBAT / HOTS , terutamanya pada band yang tinggi. 

Contoh:
B5D4E1: Mengaplikasikan wuduk dalam kehidupan seharian dan mengamalkan  adab ketika berwuduk.

Pada kebiasaannya, saya akan berwuduk apabila:
-
-
-
 (Jawapan tiada had. Lagi kerap pelajar berwuduk dalam menjalani rutin seharian, bermakna dia telah mengaplikasikan wuduk dalam kehidupannya.)

Anda berwuduk dengan menjaga adab-adab berwuduk. Jelaskan kesannya pada diri anda. 

Persoalan ketujuh:
Ustazah dah siap soalan ke belum?

Ops. Masih belum. Hihihi
 
 
 Sekiranya rakan guru ustaz ustazah JUK , JUN , JUD dan  JUS ada penambahbaikan  atas maklumat di atas, mohon maklumkan kepada saya.
 
Semoga kita dapat bantu-membantu dalam urusan yang diredhai Allah.
 
 
~ Bersusah-susah dahulu , kerana syurga itu manis~
 
 
 






21 Mei 2013

SPPBS: Daftar Murid

Assalamualaikum w.b.t

Sudahkah rakan guru semua mula mengetik SPPBS?

 Buat kali pertama yang akan menghadap SPPBS, saya akan membantu anda untuk menyempurnakan tugasan di laman SPPBS insya-Allah.

1. Taip alamat SPPBS : http://sppbs.moe.gov.my/sppbs/index.cfm 

(Sila gunakan Internet Explorer untuk kelancaran proses mengetik )



2. Pilih kategori anda. 
( Hijau sekolah rendah, biru sekolah menengah) 

Isikan nama login dan kata laluan. 

(untuk pengguna pertama, kata laluan akan diberi oleh SU PBS sekolah anda)


 3. Daftar murid.

1. Klik murid. Klik Daftar Mata Pelajaran. 2. Isikan butiran. 3. Klik Cari

Lepas klik Cari, akan keluar paparan begini.

Semua nama ada tanda /

4. Pilih murid untuk didaftarkan
Klik pada nama pelajar yang tidak mengambil Pendidikan Islam (Non-Muslim), kemudian klik Daftar.




Yang bertanda / cair, bermakna sudah didaftar.
Yang bertanda / pekat,  bermakna belum didaftar. (abaikan)

Itu sahaja.

Sekiranya ketika mengisi prestasi, nama pelajar tiada, kemungkinan besar, pelajar tersebut belum didaftarkan. (terlepas pandang)

Jadi, rakan guru perlu daftarkan murid tersebut dengan mengulang langkah 3. 

~ Selamat mendaftar murid ~

  

  

15 Mei 2013

Cap PBS

Assalamualaikum w.b.t.

Lama saya diam. Walhal banyak benda yang nak dikongsi. Bagaimana PBS ustaz/ ustazah? Lancar? Begitulah hendaknya. Amin ya rabbal 'alamin...

Hari ini saya nak kongsi tentang CAP PBS.

Mungkin ada yang dah buat, syabas diucapkan. 

Bagi yang masih tiada idea untuk membuat cap PBS sendiri, mungkin entri kali ini dapat membantu anda.

Cap yang besar.

Dalam bahagian catatan, saya tulis (contoh): 

Jika yang menguasai:

 Syabas, teruskan usaha anda untuk mencapai band 4. 

Jika yang belum mencapai tahap, saya tulis:

Teruskan usaha. Anda pasti boleh! 

Cap kedua, lebih kecil.




Yang besar, biasanya saya cap kat kertas test pad. Yang kecil,saya cap dalam buku latihan atau modul. :)

Yang besar, saya tempah RM20. Manakala yang kecil, harganya RM16.

Seronok juga cap-cap ni. Macam nak pos surat. :)

~ Seronok mengajar, seronok belajar~


 

19 Mac 2013

Evidens Pendidikan Islam



Assalamualaikum w.b.t.


Kelmarin, saya menerima email ini:

Terima kasih saya ucapkan kepada ustaz/ ustazah yang menghantar email tersebut.

Saya kagum dengan kesungguhan ustaz/ustazah yang ingin meningkatkan pengetahuan dalam melaksanakan PBS. Allah pasti membuka jalan dan memberkati langkah ustaz/ustazah.

Sebelum saya menjawab persoalan di atas, saya ingin menjelaskan sedikit berkenaan evidens terlebih dahulu.

Apa itu evidens?

Evidens ialah bahan bukti penguasaan murid yang diuruskan secara sistematik
mengikut keputusan jawatan kuasa PBS.



Evidens terbahagi kepada dua jenis iaitu :

1. Evidens murid

2. Evidens bahan

~~~

Evidens Murid:

Keupayaan sebenar murid.
- Apa yang murid tahu dan boleh buat secara lisan atau perlakuan.


- Contoh : lisan, persembahan, lakonan, nyanyian, aktiviti fizikal dan sebagainya.
  

Evidens Bahan: 

- Apa-apa bukti produk atau proses yang dihasilkan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

- Boleh disediakan secara individu atau berkumpulan.


- Contoh : penulisan, foto, grafik, artifak, bahan ICT, rakaman dan sebagainya. 

 
 Setelah merujuk dan berbincang bersama-sama  JU Kebangsaan , saya telah membina borang evidens murid untuk merekod pencapaian murid yang dijalankan secara syafawi, lakonan dan seumpamanya.

Contoh borang evidens murid untuk ayat bacaan, lisan, lakonan, pembentangan

Sebagai contoh, 

Tajuk: Tilawah: Ayat Bacaan
Perkara: Band 5, D1, E1.

 Di bahagian instrumen, saya tulis: 
Baca ayat 10 hingga 20 Surah Al-Baqarah.

Evidens:  Murid dapat membaca ayat dengan betul, bertajwid dan lancar.(ikut DSP B5D1E1)


   Untuk menjimatkan kos, saya telah photostat borang tersebut dua borang dalam satu A4. ;)

Jika ustaz / ustazah berminat untuk menggunakan borang ini, sila ambil dari Muat Turun di atas. 

Ianya gratis.  :)

~ Wahai Allah, cekalkan hati kami!~


3 Feb 2013

Cara Menentukan Band PBS Pendidikan Islam

Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar semua? Saya pasti , tahun ini tentu lebih ramai ustaz dan ustazah yang terlibat dengan PBS, sama ada bagi Tingkatan 1 mahupun Tingkatan 2. 

Memandangkan hanya wakil guru sahaja yang menghadiri Kursus Penataran PBS peringkat negeri, maka timbul  kemusykilan demi kemusykilan berkenaan PBS dalam kalangan pendidik.

Dengan sedikit kefahaman saya mengenai PBS, ( saya bukan JU Kebangsaan PBS atau JU Negeri ) saya akan cuba menerangkan secara mudah di sini. 

Semoga ustaz dan ustazah dapat menambah kefahaman dan mudah melaksanakan PBS di sekolah masing-masing. 
In shaa Allah.

~~~~~~~~~~~~~

Apa itu band?




Band seperti markah. Makin tinggi, makin baik. 

Untuk menentukan band yang dapat dicapai oleh murid, guru perlu kreatif dan perlukan sedikit usaha supaya murid dapat mencapai band tertinggi. 

Saya ambil contoh tajuk 
Ayat Kefahaman : Ayat 201 Surah Al-Baqarah (Tingkatan 1)

Band 1 : Cukup sekadar anggukan atau gelengan.
atau
Jawapan ya atau tidak.

B1D3E1 : Pernahkah anda berdoa? (Ya / Tidak )
                Sebab apa anda berdoa? 
                Jawapan pelbagai , contoh: 
  • Sebab nak minta hajat dengan Allah 
  • Sebab Allah berkuasa
  • Sebab tak tahu nak buat apa lagi, berdoa langkah terakhir
      ~ yang penting murid tahu  yang dia berdoa ada sebab.

Jika jawapan ya, dan ada sebab, kira lepas Band 1.


Untuk Band 1, boleh ditanya secara lisan sahaja. 
Adakalanya Band 1 dijadikan sebagai set induksi.

Band 2 :  Boleh nyatakan maksud ayat dengan betul.
Terpulang sama ada murid menulis atau menyatakan secara lisan.

B2D2E1 : Apakah yang anda faham tentang ayat ini? (lisan) 

Contoh jawapan: 
  • Kita mesti berdoa memohon hajat kepada Allah.
  • Minta kebaikan di dunia dan di akhirat. 
  • Minta Allah selamatkan kita daripada azab neraka.
Asalkan murid tahu maksud ayat secara keseluruhan, mereka sudah mencapai band 2.

Band 2 boleh disoal secara lisan mahupun secara bertulis.


Band 3: Boleh amalkan apa yang terkandung dalam ayat.
Guru boleh buat pemerhatian, soal jawab dan instrumen yang bersesuaian.

B3D3E1 : Jika murid selalu berdoa selepas solat, boleh dikira mereka mengamalkan amalan berdoa seperti yang dianjurkan dalam ayat.(galakkan murid selalu berdoa)


Band 4: Dapat menyatakan isi kandungan dengan betul

B4D3E1 : Suaikan ayat dengan isi kandungan  di bawah.



Jika murid berjaya suaikan semua dengan tepat, maka murid berjaya capai band 4.

Sekiranya jawapan murid ada yang salah, minta buat pembetulan semula.

Kemudian, barulah dikira mendapat Band 4.



Band 5 : Boleh amalkan dengan betul dan istiqamah.
Guru boleh lakukan pemerhatian.


Band 6 : Boleh amalkan dengan betul, istiqamah dan dicontohi.

Untuk band 6, jika murid boleh dicontohi oleh pelajar lain, seperti mampu membaca doa selepas solat berjemaah, dikira mencapai band 6.


Para guru hendaklah menggalakkan murid mengamalkan apa yang dipelajari, kerana murid bukan sahaja mendapat band yang tinggi, malah amalan yang berterusan dapat menjadikan murid sentiasa mendapat keredhaan Allah.

Ingin saya tekankan di sini, contoh di atas adalah cadangan sahaja. Segalanya terpulang kepada ustaz dan ustazah untuk menentukan instrumen dan cara  mentaksir murid sendiri.

~ Selamat berjuang! ~




28 Dis 2012

BT PBS Pendidikan Islam Tingkatan 2




Assalamualaikum dan salam sejahtera

Nampaknya cuti kian berakhir. 
Masing-masing sudah mula sibuk dengan persiapan tahun baharu.

Ramai rakan guru yang bertanya tentang borang transit PBS Pendidikan Islam Tingkatan 2. In Shaa Allah, saya akan usahakan dalam waktu terdekat. Namun sekiranya ada ustaz atau ustazah yang siap membinanya, bolehlah hubungi saya untuk dipautkan di sini untuk manfaat bersama.

 Saya baru selesai sempurnakan Naik Taraf Surau Sekolah , alhamdulillah.

Saya juga dapat bertukar sekolah untuk sesi 2013, jadi banyak perkara yang saya harus selesaikan  sebulan dua ini.

Saya sudah teliti, PBS Pendidikan Islam Tingkatan 2 nampaknya lebih ringan  dan praktikal berbanding PBS Tingkatan 1. Alhamdulillah. 

Jadi, jangan stress sangat , ok! :)



   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...