Assalamualaikum w.b.t.
Dalam minggu ini, banyak pesanan yang saya terima melalui e-mel, fb dan aplikasi whatsapp , bertanyakan tentang soalan akhir tahun PBS Pendidikan Islam.
Apabila membaca satu demi satu pesanan daripada rakan guru ustaz ustazah, terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Masakan tidak, dengan ayat pelbagai ragam, mencuit hati dan perasaan.
"Ustazah, sila e-melkan soalan akhir tahun PBS Tingkatan 1 kepada saya."
Gulp!
Saya semak kembali alamat pengirim, yang saya sangkakan Pengetua saya. Rupa-rupanya bukan. Aduh, lega! >.<
Bermacam-macam pesanan yang saya baca, sehingga mendorong saya untuk menulis entri ini.
Untuk pengetahuan rakan guru sekalian, tahun ini saya hanya mengajar Tingkatan 1 Pendidikan Islam. Sejujurnya, pada ketika ini, saya sendiri sedang bertungkus-lumus menyiapkan soalan untuk akhir tahun yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
~*~*~*~*~*~*~
Persoalan pertama:
Apakah format yang mahu digunakan?
Terpulang kepada pihak sekolah. Jika tujuan untuk streaming kelas tahun hadapan, markah diperlukan. Cara ini dianggap sebagai peperiksaan dalaman dan memudahkan para guru untuk mengira peratus murid.
Persoalan kedua:
Mahu tulis band atau markah?
Bergantung kepada guru subjek/ guru pentaksir.
Jika mahu mentaksir mengikut DSP, letakkan band. Manakala markah boleh disertakan bagi memudahkan pengiraan pencapaian murid.
Persoalan ketiga:
Bagaimana mahu membina soalan PBS aras tinggi dan aras rendah mengikut DSP?
Untuk perhatian rakan guru ustaz ustazah, soalan yang dibina bertujuan untuk menguji kefahaman murid. Sekiranya murid boleh menjawab, bermakna murid tersebut menguasai.
Evidens adalah sama antara murid cemerlang dengan yang sederhana. Namun, kaedah pembinaan item dapat menjadikan soalan tersebut sukar dijawab ataupun mudah.
Sebagai contoh:
B2D10E2: Menyatakan anggota wuduk
Menyenaraikan rukun wuduk
Aras tinggi (murid cemerlang)
Senaraikan anggota wuduk.
Senaraikan rukun wuduk satu-persatu.
* lebih kurang format PMR
Aras rendah (murid sederhana dan lemah)
Tandakan ( /) pada anggota wuduk.
( ) muka ( ) kaki ( ) mulut ( ) telinga
( ) tangan ( ) sebahagian kepala
* Ini sebagai sebagai contoh. Kalau rajin dan ingin nampak lebih menarik, letak gambar.
* Sediakan pilihan jawapan bagi murid sederhana dan lemah.
Apakah tajuk yang perlu diuji/ ditaksir?
Untuk pentaksiran akhir tahun ini, dicadangkan tajuk semester dua.
Ataupun lebih baik ditaksir mana-mana tajuk yang belum ditaksir lagi.
Persoalan kelima:
Berapa jam diperuntukkan untuk menjawab?
Terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah saya tetapkan 2 jam untuk Pendidikan Islam. Oleh yang demikian, kita kena pastikan soalan yang dibina itu, sesuai dengan peruntukan masa menjawab yang diberikan.
Persoalan keenam:
Bagaimana dengan penyerapan KBAT / HOTS dalam soalan?
Masukkan beberapa soalan KBAT / HOTS , terutamanya pada band yang tinggi.
Contoh:
B5D4E1: Mengaplikasikan wuduk dalam kehidupan seharian dan mengamalkan adab ketika berwuduk.
Pada kebiasaannya, saya akan berwuduk apabila:
-
-
-
(Jawapan tiada had. Lagi kerap pelajar berwuduk dalam menjalani rutin seharian, bermakna dia telah mengaplikasikan wuduk dalam kehidupannya.)
Anda berwuduk dengan menjaga adab-adab berwuduk. Jelaskan kesannya pada diri anda.
Persoalan ketujuh:
Ustazah dah siap soalan ke belum?
Ops. Masih belum. Hihihi
Sekiranya rakan guru ustaz ustazah JUK , JUN , JUD dan JUS ada penambahbaikan atas maklumat di atas, mohon maklumkan kepada saya.
Semoga kita dapat bantu-membantu dalam urusan yang diredhai Allah.
~ Bersusah-susah dahulu , kerana syurga itu manis~