15 Apr 2014

Tambahbaik PBS: Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid

Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar semua rakan guru? Didoakan agar semuanya sihat dan terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa.

Setelah beberapa isu pendidikan selesai dibahas dan dibentangkan di peringkat atasan, maka PBS telah ditambahbaik.


Sehubungan itu, pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengeluarkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid  untuk semua subjek sebagai panduan para guru untuk mentaksir murid. 





Secara peribadi, saya melihat panduan ini lebih mudah diikuti, ringkas dan padat kandungannya.

Terdapat 3 lajur yang mengandungi bidang/ tajuk, Band dan Deskriptor.

Contoh bahagian Tilawah (Bacaan)Tingkatan 1




Untuk memuat turun bahan terkini daripada Lembaga Peperiksaan, sila klik pautan di bawah.










~ SEMOGA BERMANFAAT~



21 Okt 2013

Soalan Akhir Tahun PBS Pendidikan Islam Tingkatan 1




Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar semua rakan guru ustaz ustazah? Sedang bertungkus -lumus memasukkan data yer? Saya pun begitu juga. Waktu 'puncak' begini kena banyakkan sabar. Didoakan pihak berwajib dapat mengatasi masalah yang melanda.

Beberapa orang rakan guru saya di luar sana masih ' bingung' untuk menyiapkan kertas soalan akhir tahun. 

Atas beberapa cadangan dan permintaan, saya bersetuju untuk berkongsi kertas soalan saya kepada ustaz dan ustazah yang berminat.

Set kertas soalan ini mengandungi :
  • 16 evidens untuk ditaksir  :Tilawah Kefahaman,Akidah, Ibadah, Sirah dan Akhlak
  •  sistem pemarkahan (untuk streaming kelas jika perlu)

Saya akan lampirkan juga edisi guru seperti peraturan pemarkahan beserta panduan indikator bagi memudahkan semakan dibuat.

Dengan harga RM5 sahaja, mungkin set soalan ini dapat membantu ustaz dan ustazah. 

Berminat?

  1. Hantarkan e-mel kepada saya : ustazahmaryati@gmail.com
  2. Subject : Soalan Akhir Tahun PBS PI Tingkatan 1
  3. Tuliskan nama, nombor  telefon dan sekolah.

Saya akan jelaskan cara pembayaran dan cara penghantaran bahan dengan cara yang paling mudah.


 Sekian, terima kasih jazakumullah khairan jaza'.


~ Usaha, pasti berjaya ~



4 Okt 2013

Key In SPPBS : Elakkan Keciciran




Assalamualaikum w.b.t.


Lebih kurang sebulan sahaja lagi sesi persekolahan 2013 akan berakhir. Nampaknya semua guru yang terlibat dengan PBS sudah mula sibuk untuk mengisi data pencapaian murid dalam sistem SPPBS.


Saya berharap proses key in  data ini akan berjalan lancar tanpa masalah tersekat-sekat seperti tahun-tahun yang lalu. 
(nampaknya  dah mula berputar-putar  >.< )

Seperti yang semua maklum, selepas guru mentaksir murid, guru akan merekodkan dalam borang transit. Kemudian apabila selesai PdP, baharulah guru akan key in pencapaian tersebut dalam sistem.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan tandakan sekali lagi borang transit dengan pen merah, SEKIRANYA data tersebut telah saya masukkan dalam sistem.

Ini adalah untuk mengelakkan keciciran berlaku sewaktu mengisi data pencapaian murid. 


Yang ada 'double tick' bermaksud sudah rekod dalam sistem.

Yang 'single tick' belum rekod dalam sistem SPPBS.

Yang kanan sekali, tiada sebarang tanda, bermaksud evidens belum ditaksir. 

Mungkin nampak renyah, tapi bagi saya sangat penting untuk mengelakkan keciciran berlaku ketika kita key in dalam SPPBS. 


Sekiranya rakan guru ada cara lain yang lebih praktikal, jom kongsikan di sini.
(di ruangan komentar) 

Sekian, selamat 'mengetik'. 

~ Alah bisa tegal biasa ~



 



3 Okt 2013

Soalan Akhir Tahun PBS Pendidikan Islam




Assalamualaikum w.b.t.

Dalam minggu ini, banyak pesanan yang saya terima melalui e-mel, fb dan aplikasi whatsapp , bertanyakan tentang soalan akhir tahun PBS Pendidikan Islam.

Apabila membaca satu demi satu pesanan daripada rakan guru ustaz ustazah, terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Masakan tidak, dengan ayat pelbagai ragam, mencuit hati dan perasaan.

"Ustazah, sila e-melkan soalan akhir tahun PBS Tingkatan 1 kepada saya."

Gulp! 

Saya semak kembali alamat pengirim, yang saya sangkakan Pengetua saya. Rupa-rupanya bukan. Aduh, lega!   >.<

Bermacam-macam pesanan  yang saya baca, sehingga mendorong saya untuk menulis entri ini.

Untuk pengetahuan rakan guru sekalian, tahun ini saya hanya mengajar Tingkatan 1 Pendidikan Islam. Sejujurnya, pada ketika ini, saya sendiri sedang bertungkus-lumus menyiapkan soalan untuk akhir tahun yang bakal berlangsung hujung bulan ini. 

~*~*~*~*~*~*~

Persoalan pertama: 
Apakah format yang mahu digunakan?

Terpulang kepada pihak sekolah. Jika tujuan untuk streaming kelas tahun hadapan, markah diperlukan. Cara ini dianggap sebagai peperiksaan dalaman dan memudahkan para guru untuk mengira peratus murid.

Persoalan kedua:
Mahu tulis band atau markah?

Bergantung kepada guru subjek/ guru pentaksir. 
Jika mahu mentaksir mengikut DSP, letakkan band. Manakala markah boleh disertakan bagi memudahkan pengiraan pencapaian murid.

Persoalan ketiga:
Bagaimana mahu membina soalan PBS aras tinggi dan aras rendah mengikut  DSP?

Untuk perhatian rakan guru ustaz ustazah, soalan yang dibina bertujuan untuk menguji kefahaman murid. Sekiranya murid boleh menjawab, bermakna murid tersebut menguasai. 

Evidens adalah sama antara murid cemerlang dengan yang sederhana. Namun, kaedah pembinaan item dapat menjadikan soalan tersebut sukar dijawab ataupun mudah.

Sebagai contoh: 

B2D10E2: Menyatakan anggota wuduk
               Menyenaraikan rukun wuduk

Aras tinggi (murid cemerlang)

Senaraikan anggota wuduk.
Senaraikan rukun wuduk satu-persatu.

* lebih kurang format PMR

Aras rendah (murid sederhana dan lemah)

Tandakan ( /) pada anggota wuduk.

(   ) muka       (    ) kaki        (   ) mulut    (  ) telinga

(   ) tangan     (    ) sebahagian kepala


* Ini sebagai sebagai contoh. Kalau rajin dan ingin nampak lebih menarik, letak gambar. 


* Sediakan pilihan jawapan bagi murid sederhana dan lemah. 


Persoalan keempat:
Apakah tajuk yang perlu diuji/ ditaksir?

Untuk pentaksiran akhir tahun ini, dicadangkan  tajuk semester dua. 
Ataupun lebih baik ditaksir mana-mana tajuk yang belum ditaksir lagi.

Persoalan kelima:
Berapa jam diperuntukkan untuk menjawab?

Terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah saya tetapkan 2 jam untuk Pendidikan Islam. Oleh yang demikian, kita kena pastikan soalan yang dibina itu, sesuai dengan peruntukan masa menjawab yang diberikan.

Persoalan keenam:
Bagaimana dengan penyerapan KBAT / HOTS  dalam soalan? 

Masukkan beberapa soalan KBAT / HOTS , terutamanya pada band yang tinggi. 

Contoh:
B5D4E1: Mengaplikasikan wuduk dalam kehidupan seharian dan mengamalkan  adab ketika berwuduk.

Pada kebiasaannya, saya akan berwuduk apabila:
-
-
-
 (Jawapan tiada had. Lagi kerap pelajar berwuduk dalam menjalani rutin seharian, bermakna dia telah mengaplikasikan wuduk dalam kehidupannya.)

Anda berwuduk dengan menjaga adab-adab berwuduk. Jelaskan kesannya pada diri anda. 

Persoalan ketujuh:
Ustazah dah siap soalan ke belum?

Ops. Masih belum. Hihihi
 
 
 Sekiranya rakan guru ustaz ustazah JUK , JUN , JUD dan  JUS ada penambahbaikan  atas maklumat di atas, mohon maklumkan kepada saya.
 
Semoga kita dapat bantu-membantu dalam urusan yang diredhai Allah.
 
 
~ Bersusah-susah dahulu , kerana syurga itu manis~
 
 
 






2 Okt 2013

Kursus Penataran PBS Pendidikan Islam Tingkatan 3 : PPD Hulu Langat



Assalamualaikum wbt

Apa khabar semua rakan guru ustaz ustazah ?
Nampaknya masa kian pantas berlari. Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Oktober.

Pada 18 September hingga 21 September 2013 yang lalu, Kursus Penataran PBS Pendidikan Islam Tingkatan 3, Daerah Hulu Langat telahpun dilaksanakan dengan jayanya.

Memandangkan saya 'orang baru' di Daerah Hulu Langat, saya rasa sangat seronok dan teruja kerana dijemput hadir kerana selain dapat menambah dan berkongsi ilmu, secara tidak langsung  jaringan silaturahim sesama GPI  dapat dijalinkan. 

Semua peserta sangat memberi kerjasama sepanjang program berlangsung.  Alhamdulillah.

Terima kasih jazakumullah kepada En. Amiluddin (PPD Hulu Langat), Ustazah Eita Nazira (JUD-GC PI SAAS) , Ustaz Mohd Anas dan Ustazah Fadzriyah (JUK PBS) yang turut turun padang bagi menyampaikan maklumat tentang PBS.

Semoga segala input dan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah masing-masing. Insya-Allah.

Jom kita tengok gambar. :)

Ustazah Eita Nazira




En. Amiluddin


Ustazah Fadzriyah






Saya 'CikMa' ;)









Ustazah Aisyah sedang membentangkan hasil kumpulannya.



Antara rakan baharu saya :)


~ Ukhuwah Fillah, sama-sama mencari redha Allah~




2 Jul 2013

Rekod Pelaksanaan PBS - Senarai Semak PBS Pendidikan Islam T1



Assalamualaikum w.b.t

Saya menerima email daripada teman seperjuangan.
 Beliau ingin berkongsi  bahan iaitu Rekod Pelaksanaan PBS Tingkatan 1. Saya sangat berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustazah Azimah dari SMK Taman Melati, Kuala Lumpur. 

Semoga perkongsian beliau ini mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Jazakillah ya ustazah! :)

Rekod Pelaksanaan PBS T1/ Senarai Semak 

21 Mei 2013

SPPBS: Daftar Murid

Assalamualaikum w.b.t

Sudahkah rakan guru semua mula mengetik SPPBS?

 Buat kali pertama yang akan menghadap SPPBS, saya akan membantu anda untuk menyempurnakan tugasan di laman SPPBS insya-Allah.

1. Taip alamat SPPBS : http://sppbs.moe.gov.my/sppbs/index.cfm 

(Sila gunakan Internet Explorer untuk kelancaran proses mengetik )



2. Pilih kategori anda. 
( Hijau sekolah rendah, biru sekolah menengah) 

Isikan nama login dan kata laluan. 

(untuk pengguna pertama, kata laluan akan diberi oleh SU PBS sekolah anda)


 3. Daftar murid.

1. Klik murid. Klik Daftar Mata Pelajaran. 2. Isikan butiran. 3. Klik Cari

Lepas klik Cari, akan keluar paparan begini.

Semua nama ada tanda /

4. Pilih murid untuk didaftarkan
Klik pada nama pelajar yang tidak mengambil Pendidikan Islam (Non-Muslim), kemudian klik Daftar.




Yang bertanda / cair, bermakna sudah didaftar.
Yang bertanda / pekat,  bermakna belum didaftar. (abaikan)

Itu sahaja.

Sekiranya ketika mengisi prestasi, nama pelajar tiada, kemungkinan besar, pelajar tersebut belum didaftarkan. (terlepas pandang)

Jadi, rakan guru perlu daftarkan murid tersebut dengan mengulang langkah 3. 

~ Selamat mendaftar murid ~

  

  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...